Saturday, August 21, 2010

BERITA HR: Mangsa amuk dapat pencen Perkeso

TELUK INTAN 20 Ogos – Trauma dua beradik ekoran kejadian amuk di Langkap dekat sini yang berakhir dengan kematian ibu bapa mereka pada 14 Ogos lalu, sudah pasti terlalu sukar untuk diubati.

Namun kepantasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tampil mengumumkan pembayaran pencen penakat berjumlah RM530.32 sebulan sehingga dewasa, mungkin boleh menjadi ‘penawar’ kesedihan mereka.

Kedua-dua beradik itu, Najihah Natri, 14, dan Najwa, 10, akan menerima pencen penakat iaitu pencen bulanan daripada Perkeso sehingga usia mereka menjangkau 21 tahun dan akan disambung jika melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, K. Selvarajah berkata, bayaran bulanan pencen penakat untuk dua beradik itu akan berkuat kuasa mulai 14 Ogos lalu iaitu dari tarikh kematian ibu bapa mereka.

Menurutnya, ia merangkumi RM249.60 sebulan daripada bahagian bapa mereka dan RM280.72 sebulan daripada ibu yang kesemuanya berjumlah RM530.32.

“Perkeso akan bayar pencen penakat Najihah dan Najwa sehingga usia mereka menjangkau 21 tahun atau sehingga mereka berkahwin.

“Jika belajar di institusi pengajian tinggi (IPT), kita akan bayar sehingga mendapat ijazah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 kepada ibu saudara mangsa, Zaharah Mohd. Ariffin di Langkap dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Pengerusi Pejabat Perkeso Teluk Intan, Sharifah Anisah Syed Harun.

Dalam kejadian awal pagi 14 Ogos lalu, bapa dua beradik itu, Natri Shaharudin, 39, yang dipercayai tidak siuman ditembak mati oleh polis selepas dia menetak mati isterinya, Khairul Bariah Mohd Ariffin, 36, serta mencederakan Najihah.

Sementara itu, Najwa ketika ditemui berkata, dia sukar melupakan kejadian menimpa kedua-dua ibu bapanya namun pasrah apa yang berlaku.

“Saya masih terbayang-bayang kejadian itu dan ia masih jelas dalam ingatan.

“Saya terima dengan hati terbuka dan bersyukur kerana ibu saudara kini menjadi tempat saya dan kakak menumpang kasih,” katanya.

Sumber: Utusan Online

**Jadi, pastikan anda memeriksa pembayaran wang PERKESO (socso) anda & periksa, sudahkah anda meletakkan penama? Ianya bukan hanya untuk anda tetapi untuk mereka yang anda sayangi.

No comments: