Monday, March 1, 2010

BERITA HR: Pengisian jawatan SPA

Pengisian Jawatan: SPA Tidak Amal Diskriminasi Gender

PUTRAJAYA 1 Mac – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak mengamalkan diskriminasi gender dalam pengisian setiap jawatan dalam sektor perkhidmatan awam, kata Setiausahanya, Datuk Lamien Lawiyo, hari ini.

Menurutnya, SPA tidak pernah membezakan gender pemohon kerana kelayakan dan kriteria pengambilan berpandukan kepada jenis jawatan yang dipohon.

Katanya, pengambilan penjawat awam tertakluk kepada kesesuaian dan kelayakan berbeza mengikut kehendak dan keperluan kementerian dan agensi kerajaan.

"Mereka dilantik mengikut kehendak bidang pekerjaan. Misalnya, Jabatan Penjara meminta penjawat wanita untuk Penjara Wanita dan kami menimbang kehendak jabatan dan kementerian yang memohon,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan jersi kepada pasukan bola sepak SPA FC yang bertanding pada Liga FAM musim ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zin, baru-baru ini, bahawa dominasi penjawat wanita dalam sektor awam kian membimbangkan kerana ia akan memberi impak jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, hampir tiga suku daripada jawatan baru dalam kategori Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) telah diisi oleh kaum wanita, sekali gus bertentangan dengan dasar kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan `pembuat keputusan” untuk golongan terbabit.

Sementara itu, Lamien memberitahu daripada 490 jawatan PTD yang diperuntukkan, 250 daripadanya diberikan kepada calon lelaki, manakala selebihnya diisi oleh calon wanita.

"SPA juga masih menanti maklum balas daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan berhubung anggaran kekosongan jawatan untuk tahun ini,” katanya. – Bernama

Sumber: Utusan Online 1 Mac 2010

No comments: