Monday, March 1, 2010

BERITA HR: Lebih 200,000 pencarum Perkeso terima kenaikan pencen

01/03/2010 5:05pm

KUALA LUMPUR 1 Mac – Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan kadar pencen antara 0.6 peratus dan 11.3 peratus kepada 206,585 orang penerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, ketika mengumumkannya, berkata, pembayaran pencen baru itu akan bermula 1 April ini dan merupakan kadar tertinggi dalam sejarah Perkeso.

Katanya, kadar baru itu melibatkan kos tambahan sebanyak RM66.4 juta setahun.

Menurutnya, kenaikan tersebut, yang berkuat kuasa 1 Jan 2008, mengambil kira tahap Indeks Harga Pengguna (IHP).

"Tunggakan akan dibayar dari tarikh berkuat kuasa mulai 1 Januari 2008 sehingga tarikh kadar bayaran baru ini diluluskan,” katanya pada majlis penyampaian pencen Perkeso di sini.

Dr. Subramaniam berkata, jumlah tunggakan bayaran pencen ekoran penyelarasan bagi tempoh 1 Januari 2008 hingga 31 Mac 2010 adalah berjumlah RM142.4 juta.

Katanya, bilangan penerima seramai 206,585 orang tersebut melibatkan penerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) serta orang berinsurans yang sedang menerima pencen Penakat dan Ilat dari Perkeso pada atau sebelum 31 Disember 2007. – Bernama

Sumber: Utusan Online 1 Mac 2010

No comments: