Wednesday, March 31, 2010

BERITA HR: KWSP perlu ke India, China

KUALA LUMPUR 30 Mac - India dan China merupakan dua pasaran yang patut diterokai oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila mereka meningkatkan pelaburan ke luar negara, kata Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin.

Katanya, selain kedua-dua negara itu, KWSP juga dinasihatkan untuk mencari pelaburan di pasaran-pasaran baru muncul dan pasaran maju.

''Tetapi pelaburan yang dilakukan di luar negara itu perlu dijalankan dengan penuh prihatin dan berhati-hati kerana pelaburan tersebut perlu menerima pulangan yang mantap.

''Perlindungan terhadap pelaburan itu perlu diketatkan. Namun langkah melabur di luar negara sangat baik kerana pasaran Malaysia adalah kecil dan pasaran luar memberi saiz yang lebih baik untuk KWSP melabur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas Perdana Menteri menyampaikan Ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kebenaran kepada KWSP untuk meningkatkan pelaburan di luar negara memandangkan pengurus dana itu menguasai pasaran ekuiti dan bon tempatan sehingga 50 peratus daripada volum harian Bursa Malaysia pada masa ini.

Pelaburan di luar negara akan membolehkan KWSP mempelbagaikan portfolio pelaburan dan memberikan lebih banyak ruang domestik untuk penyertaan baru.

Pada masa ini, KWSP mempunyai enam peratus aset pelaburan luar persisir pantai dan jumlah tersebut akan meningkat secara ketara.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan mengkorporatkan Lembaga Kemajuan Industri (MIDA), Mahani berkata, langkah itu sepatutnya telah lama dilaksanakan kerana ia dapat memberikan mereka kuasa untuk mempromosi Malaysia dan menarik pelaburan dengan lebih cekap dan berkesan.

''Ini kerana MIDA perlu bersaing dengan agensi-agensi seperti itu dari negara-negara lain, perubahan MIDA itu perlu dijalankan.

''Penswastaan ini membolehkan MIDA membuat keputusan dengan lebih cepat dan dapat memberikan insentif kepada pelabur tempatan dan luar negara. Ia akan membantu pelabur membuat keputusan dengan lebih cepat kerana percaya MIDA memberikan komitmen tersebut," jelasnya.

Mengenai pengumuman Model Ekonomi Baru (MEB), Mahani berkata, rakyat perlu memberi sokongan dan membantu kerajaan menjayakannya.

''Oleh itu mereka perlu meningkatkan kecekapan untuk merealisasikan harapan MEB yang akan dilaksanakan kerajaan," katanya.


Sumber: Utusan Online 31 Mac 2010

No comments: