Friday, February 19, 2010

BERITA: Diplomat lemah berbahasa Inggeris

JAKARTA 18 Feb. - Sesetengah diplomat Indonesia yang bertugas di kedutaan di luar negara begitu lemah dalam bahasa Inggeris sehingga mereka sanggup mengambil cuti sakit bagi mengelakkan pertemuan dengan pegawai asing.

Birokrat nombor dua di Kementerian Luar Indonesia, Imron Cotan memberitahu sebuah jawatankuasa Parlimen, masalah tersebut tidak melibatkan diplomat dari kementerian beliau sendiri tetapi atase yang ditempatkan di Kedutaan oleh kementerian lain seperti pertahanan, perdagangan dan kewangan.

"Saya mendapati sebilangan atase kita tidak fasih berbahasa Inggeris.

"Setiap kali rakan sejawatan mereka daripada kerajaan tuan rumah ingin berjumpa dengan mereka, mereka menjadi takut dan mencari jalan untuk mengelakkan pertemuan," kata Imron menurut laporan akhbar Jakarta Post hari ini dalam keterangannya kepada jawatankuasa Parlimen yang menyiasat prestasi diplomat Indonesia.

Cuti sakit menjadi helah utama bagi mengelakkan pertemuan sedemikian, kata Imron yang tidak menyatakan bilangan atase yang lemah penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Beliau yang pernah mewakili Indonesia di New York, Geneva dan Australia mencadangkan supaya semua calon atase lulus ujian bertulis dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa diplomasi antarabangsa.

Kebanyakan rakyat Indonesia bertutur dalam Bahasa Indonesia, bahasa rasmi di negara yang juga mempunyai ratusan bahasa atau dialek lain.

Bahasa Inggeris ialah mata pelajaran wajib dalam kurikulum sekolah kerajaan tetapi bahasa itu jarang didengar dan tidak ramai penduduk Indonesia yang fasih.

Jurucakap Kementerian Luar, Teuku Faizahsyah hari ini mengesahkan laporan tersebut tetapi enggan menyatakan lokasi di antara 119 Kedutaan Indonesia yang terjejas disebabkan kelemahan bahasa Inggeris itu. - AP

Sumber: Utusan Online 19 Februari 2010


Nonahanim: Dilihat dari perspektif HR, adakah ini berlaku dalam organisasi anda? Jika ya, apakah penyelesaiannya? Semuanya berkenaan HR Development, latihan.

No comments: