Monday, October 19, 2009

BERITA: Kembalikan Caruman 11%

PETALING JAYA 18 Okt. – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini meminta kerajaan membenarkan 2.2 juta pekerja yang memilih potongan lapan peratus bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kembali kepada 11 peratus berkuat kuasa serta merta.

Sambil merujuk kepada keadaan ekonomi yang semakin pulih, Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam memberitahu, caruman KWSP merupakan simpanan untuk hari tua bagi pekerja sektor swasta dan adalah penting peratusan simpanan itu dikekalkan.

Berikutan krisis ekonomi, pada November lepas, kerajaan telah membenarkan para pekerja untuk memilih sama ada kekal dengan caruman 11 peratus atau mengurangkannya sebanyak tiga peratus kepada lapan peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun ini.

Menurut KWSP, sejumlah 2.2 juta atau 40 peratus daripada pekerja telah memilih untuk mengurangkannya kepada lapan peratus.

Balasubramaniam berkata, MTUC kini prihatin dengan 2.2 juta pekerja kerana mereka kini kerugian dalam bentuk dividen dan bayaran akhir apabila mereka mencapai umur persaraan.

Katanya, walaupun pilihannya adalah dua tahun, kerajaan perlu membenarkan mereka untuk kembali kepada caruman yang asal sekarang.

– Bernama

*Dipetik dar Utusan Malaysia Online


Nonahanim: ya, saya sangat tidak bersetuju dengan potongan kepada 9% yang dilakukan dahulu. Apabila tiba waktu untuk pencen, simpanan adalah sangat tidak mencukupi bagi pesara-pesara ini. Perbezaan sebanyak 2% tidak memberi kesan yang besar pada setiap bulan sebenarnya tetapi memberi impak yang besar sewaktu persaraan.

No comments: