Wednesday, August 5, 2009

HR: Proses Rundingan

Dalam proses perundingan, terdapat beberapa model yang boleh dijadikan sumber rujukan. Antara model adalah Model Lewicki dan Hiam’s, Model Hiltrop dan Udall’s, Model Hindle’s dan Model Kennedy’s. Antara keempat-empat model ini, mari kita lihat Model Lewicki dan Hiam’s sebagai contoh. Dalam model tersebut proses rundingan dibahagikan kepada empat tahap. Tahap pertama ialah tahap persediaan, diikuti oleh tahap pembukaan, seterusnya tahap tawar menawar dan diakhiri dengan tahap penutupan dan pelaksanaan.

*Model Lewicki dan Hiam’s

Dalam tahap persediaan terdapat dua proses penting yang ditekankan iaitu pengumpulan maklumat dan penetapan perancangan serta matlamat yang ingin dicapai. Dalam proses pengumpulan maklumat pihak yang ingin berunding perlu mendapatkan seberapa banyak maklumat sebelum perundingan dijalankan. Untuk penetapan matlamat pihak yang berunding perlu menetapkan kaedah yang ingin digunakan sama ada kaedah distributive bargaining ataupun integrative bargaining.

Bagi tahap pembukaan pula kedua-dua pihak yang ingin menjalankan rundingan perlulah menghujahkan cadangan berserta dengan alasan untuk mengukuhkan lagi hujah tersebut. Dalam perundingan tersebut kedua-dua pihak perlulah mengemukakan dan mendengar dengan teliti maklumat berkaitan perkara yang sedang dirundingkan. Tahap pembukaan ini merupakan tahap yang sukar dan memerlukan idea yang bernas kerana kedua-dua pihak perlu menjawab persoalan yang diajukan.

Tahap yang ketiga pula ialah tahap tawar menawar yang mana kedua-dua pihak akan memberi ruang perbincangan dan masa bagi mencapai persetujuan rundingan. Ini membolehkan kedua-dua pihak berbincang untuk memudahkan proses tawar menawar. Akhir sekali ialah tahap penutupan dan pelaksanaan. Pada tahap ini kedua-dua pihak mencapai kata sepakat terhadap perkara yang dirundingkan. Seterusnya kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian secara bertulis bagi menunjukkan persetujuan telah dicapai.

Sumber Rujukan: Lewicki, R. J., Barry, B., & Saunders, D. M. (2007). Essentials of Negotiation. New York: McGraw Hill.

Nonahanim: pentingnya proses rundingan yang berkesan perlu dicapai agar kedua-dua pihak berpuas hati dengan segala tindakan yang akan diambil dan hasilnya pasti menguntungkan kedua-dua pihak. Malah dalam Islam juga mengatakan, perlunya kita bermesyuarah dalam setiap perkara. insyaAllah.

No comments: