Saturday, August 8, 2009

HR: Pampasan

Menurut Patten (1991), pampasan adalah merupakan semua bentuk pembayaran atau ganjaran yang diberikan kepada semua kategori dan peringkat pekerja yang bekerja dalam sesebuah organisasi. Ganjaran ini dibayar kepada para pekerja dalam organisasi kerja seperti firma-firma perniagaan, agensi-agensi kerajaan, hospital-hospital, sekolah-sekolah, badan-badan ketenteraan dan lain-lain.

Milkovich & Newman (2005) mengatakan, pampasan didefinisikan sebagai semua bentuk pulangan kewangan serta faedah dan perkhidmatan yang nyata atau jelas yang di terima oleh pekerja sebagai sebahagian daripada ikatan perhubungan pekerjaan.

Akta Pampasan Pekerja 1952 menetapkan bahawa apabila seorang pekerja ditimpa bencana kerja yang terbit dari dan dalam masa pekerjaannya yang menyebabkan kecederaan atau maut, majikannya adalah bertanggungjawab untuk membayar pampasan kepada pekerja tersebut atau orang tanggungan si mati. Untuk melepaskan tanggungjawab tersebut, setiap majikan adalah diwajibkan untuk menginsuranskan pekerjanya menurut seksyen 26(1) Akta Pampasan Pekerja 1952. Dalam menjalankan kuasanya di bawah seksyen 26(2) Akta Pampasan Pekerja 1952, Menteri Sumber Manusia telah membuat Perintah Pampasan Pekerja (Skim Pampasan Pekerja Asing) (Insurans) 1998, dimana majikan-majikan perlu menginsuranskan pekerja asingnya dengan mana-mana penanggung insurans yang dilantik. Penanggung-penanggung insurans selain dari bertanggungjawab untuk membayar pampasan bagi kes-kes bencana kerja untuk menyediakan faedah tambahan bagi kes-kes kemalangan ke atas pekerja yang berlaku di luar waktu kerja.

Di bawah seksyen 8, Akta Pampasan Pekerja 1952, Pesuruhjaya Pampasan Pekerja diberi tugas untuk menaksir jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada kes-kes bencana kerja yang terbit dari dan dalam masa pekerjaan. Bagi kes-kes kemalangan di luar waktu kerja penaksiran pampasan akan dibuat oleh penanggung insurans.

Menurut seksyen 10, Akta Pampasan Pekerja 1952, pampasan bagi kes maut hendaklah didepositkan dengan Pesuruhjaya Pampasan dimana beliau akan menjalan pembahagian wang pampasan kepada orang-orang tanggungan si mati.

Di bawah seksyen 13, Akta Pampasan Pekerja 1952, majikan adalah diwajibkan untuk melaporkan kemalangan yang menimpa pekerjanya dalam 10 hari dari tarikh kemalangan kepada Pesuruhjaya Pampasan Pekerja. Majikan mesti mengemukakan semua dokumen yang berkaitan untuk membolehkan Pesuruhjaya Pampasan Pekerja membuat taksiran pampasan bagi tujuan pembayaran kepada pekerja oleh penanggung insurans.


Untuk maklumat mengenai Akta Pampasan Pekerja 1952, sila ke web Kementerian Sumber Manusia Malaysia.


Nonahanim: setiap pekerja perlu tahu apa hak mereka sebagai pekerja.

No comments: