Saturday, June 13, 2009

HR: [Karier] Kejayaan Kerjaya

Kerjaya adalah merupakan satu karier yang dimiliki oleh individu. Manakala menurut kamus Longman, kerjaya didefinisikan sebagai pekerjaan atau profesion yang telah dilatih dan dilakukan bagi tempoh yang panjang dalam hidup seseorang. Definisi kejayaan kerjaya pula adalah bergantung kepada individu tersebut kerana setiap individu akan mempunyai maksud kejayaan dalam kerjayanya.

Merujuk majalah Nona (1996), dalam memburu kejayaan kerjaya apa yang paling penting ialah wujudnya keberanian dalam diri. Manakala keberanian hanya akan wujud apabila ada keyakinan dalam diri untuk menghadapi masyarakat yang kian terbuka pemikirannya. Kejayaan memerlukan usaha yang berlipat ganda untuk mencapainya. Selain usaha, diri perlu dibekalkan dengan keyakinan untuk merancang dan menyusun strategi kejayaan. Bagi membina keyakinan apa yang diperlukan ialah keterampilan diri atau imej yang boleh dibanggakan untuk menonjolkan kemampuan. Pengalaman dan persekitaran selalunya membentuk pemikiran dan imej diri. Bagaimanapun jangan terlalu membiarkan diri dipengaruhi oleh pengalaman yang negatif kerana ini secara tidak langsung akan membuatkan individu membina imej yang tidak sewajarnya. Malah, terdapat empat peranan individu dalam pengurusan kerjaya mereka yang boleh membantu dalam kejayaan kerjaya mereka iaitu:-

• Penilaian yang positif
• Memenuhi kehendak pengurusan organisasi
• Mengenal pasti keperluan pengembangan kerjaya
• Mengenal pasti arah tuju masa depan

Mengulas jurnal oleh Shu-chi Lin dan Jung-nung Chang yang bertajuk, ‘perhubungan di antara orientasi kerjaya antara-organisasi dan strategi kerjaya pekerja’, orientasi kerjaya antara-organisasi adalah merupakan perkara yang dilakukan oleh pekerja untuk meningkatkan kerjaya mereka dalam beberapa organisasi. Strategi kerjaya pula adalah apabila pekerja tidak berminat untuk dalam pengurusan pembangunan kerjaya dalam organisasi tetapi lebih berminat untuk menguruskan sendiri kerjaya mereka. Strategi kerjaya adalah merupakan gelagat yang memfokus kepada pencapaian matlamat kerjaya. Sepanjang proses ini mungkin akan menyebabkan organisasi seperti dikawal.

Jepun adalah merupakan salah satu contoh di mana mereka pernah mengamalkan penerapan tradisi iaitu pekerja mempunyai pekerjaan seumur hidup dengan satu organisasi sahaja selepas tamat pengajian. Ini bermaksud, pembangunan kerjaya yang ingin dilakukan oleh pekerja hanya di dalam satu organisasi sahaja. Kesan dari penstrukturan semula organisasi dan peningkatan lantik henti yang tinggi, penerapan tradisi berubah. Pekerja kini lebih berminat malah digalakkan untuk merancang kerjaya mereka sendiri dalam beberapa organisasi. Berdasarkan keratan News Straits Times bertarikh 8 Ogos 2005, dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia (pada waktu itu), Datuk Seri Najib Razak yang menyarankan graduan (pekerja) agar memilih ‘lifelong employability’ iaitu graduan (pekerja) perlu menyesuaikan diri dan menerima apa saja peluang yang wujud dalam pasaran pekerjaan dan mereka tidak boleh bergantung kepada hanya sebuah organisasi sahaja.

Pekerja yang mempunyai kepuasan yang tinggi dalam kerjaya mempunyai keyakinan dalam pencapaian matlamat kerjaya mereka. Ini menjelaskan bahawa kepuasan mampu mempengaruhi kerjaya yang cemerlang. Manakala komitmen individu pekerja untuk mengekalkan matlamat kerjaya mempunyai kaitan dengan penerimaan strategi kerjaya itu sendiri. Strategi kerjaya dalam beberapa organisasi yang dilakukan oleh pekerja bagi membangunkan kerjaya mereka, mampu untuk pekerja itu sendiri menghadapi pelbagai halangan kerjaya yang lebih mencabar. Seterusnya pencapaian kerjaya yang lebih tinggi mampu dimiliki.

Perspektif kerjaya individu perlu memenuhi kehendak organisasi dalam mencapai matlamat organisasi itu sendiri. Ini adalah perlu agar perspektif individu dan organisasi mempunyai hala tuju yang sama. Dengan hala tuju yang sama dalam menentukan masa hadapan individu dan organisasi, kedua-dua pihak perlu melihat apa yang diperlukan dalam merancang dan meningkatkan kerjaya di masa hadapan. Melalui matlamat yang sama, individu dan organisasi tidak keliru mengenai matlamat yang ingin dicapai. Ini dapat memastikan persilangan matlamat di antara kedua-duanya tidak berlaku. Apabila matlamat kedua-dua pihak tercapai, ianya sekaligus akan membantu kejayaan kerjaya individu tersebut.

Berdasarkan mini e-Book yang ditulis oleh Long Yun Siang (2006), kunci kejayaan kerjaya seseorang adalah: -

• Bekerja keras dan bersungguh-sungguh
• Elakkan daripada tabiat ‘cukup-cukup saja’
• Tingkatkan keinginan untuk bertindak
• Lupakan bahawa anda merupakan seorang yang mahir
• Sentiasa meningkatkan keinginan untuk belajar

Perkembangan muktahir yang sarat dengan isu sejagat seperti ekonomi, politik dan sebagainya mengungkap pelbagai persoalan yang menuntut kepada kekuatan pemikiran dan intelektual, serta disusuli dengan tindakan dan keberanian dalam menangani cabaran mencapai kejayaan dalam kerjaya dengan baik. Individu kini perlu berfikiran kritis dan analitikal terhadap perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan dan kehendak kerjaya. Saranan dan tindakan individu haruslah strategik dan berdasarkan perencanaan teliti. Seperti yang dikatakan oleh Dato’ Othman Aziz (bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Kedah pada tarikh artikel ini ditulis) dalam ucapannya pada majlis perasmian ‘Kem Membina Bakal Belia Berwawasan’ di Batu Lapan, Changlun, “kadangkala setiap peluang itu datangnya dari menongkah taufan gelora. Di sebabkan itulah individu kini tidak harus mempunyai 'complacent thinking', tidak mahu menerobos ke dalam alam pemikiran yang lebih jitu untuk berjaya dan menghasilkan kejayaan".

Kesimpulannya, kejayaan kerjaya bukan sahaja perlu diimpikan oleh setiap individu tetapi ianya perlu diusahakan dengan sikap rajin, berusaha, gigih, kerja keras, berdisplin dan mengambil berat dalam segala hal. Hanya individu yang benar-benar bertanggungjawab terhadap setiap tindakan dan usaha untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya sahaja akan beroleh pulangan yang lebih baik dan tidak mustahil untuk mencapai kejayaan yang diharapkan. Individu tidak dilahirkan sebagai juara tetapi individu itu yang akan membentuk dirinya untuk menjadi juara. Adakah kita seorang juara yang telah berjaya dalam kerjaya? Tepuk dada, tanya diri. Hanya kita boleh menjawabnya.


Nonahanim: “How I believe, opportunity riding on a dangerous wind,.. and so, I have taken the risk,..”

No comments: