Sunday, June 21, 2009

HR: [OSH] Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan di Malaysia

Peranan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia telah bermula sejak 120 tahun yang lalu, iaitu pada akhir abad ke-19. Tugas keselamatan pekerjaan yang mula-mula dilaksanakan di Malaysia ialah pada tahun 1878, di mana William Givan telah dilantik sebagai Pemeriksa Jentera. Beliau ditugaskan untuk memeriksa keselamatan dandang stim yang ketika itu kebanyakannya digunakan di lombong-lombong bijih timah. Sejak itu, keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia mula dititik beratkan. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah diluluskan di Parlimen pada tahun 1993 dan diwartakan pada bulan Februari 1994. Perundangan ini bertujuan menangani permasalahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor-sektor ekonomi selain dari sektor-sektor pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta binaan.

Dengan Akta ini, jumlah pekerja yang diliputi telah bertambah dari 24% ke 90% daripada jumlah tenaga pekerja negara. Akta ini melengkapi Akta Kilang dan Jentera 1967. Dengan berkuat kuasanya akta ini, nama Jabatan ini telah bertukar kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bermula April 1994. Terdapat tiga Akta yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan iaitu:

• Akta Kilang Dan Jentera 1967 (Akta 139)
• Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514)
• Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 (Akta 302).

Sebelum Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 diluluskan, Unit Kesihatan Industri telah ditubuhkan pada tahun 1968 dan diketuai oleh seorang Pegawai Perubatan yang dipinjamkan dari Kementerian Kesihatan. Unit ini, yang telah ditubuhkan di bawah Kementerian Buruh pada masa itu, telah diletak di bawah pemantauan Jabatan Kejenteraan sehingga tahun 1971 semasa unit ini diletak di bawah Kementerian Kesihatan.

Sebagai contoh, keratan akhbar Berita Harian September 3, 2008, sebanyak 88 kes kemalangan di tempat kerja dengan tujuh kematian dicatatkan di dua negeri berkenaan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2008 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah/Perlis. Memetik kata-kata Pengarahnya, Mohd Jais Suratman, ”kebanyakkan kes kemalangan di tempat kerja berpunca daripada pihak yang mengabaikan soal keselamatan, sekaligus mengundang risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa dan kecederaan parah”.

Menurut kehendak Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah menjadi tanggungjawab seseorang majikan untuk menjamin kesihatan dan keselamatan pekerjanya dan juga lain-lain pekerja yang mungkin terdedah oleh aktiviti kerja yang dijalankan. Rujukan juga boleh dibuat kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Peraturan menghendaki majikan untuk melaporkan kemalangan. Majikan bermaksud majikan utama atau majikan langsung. Majikan utama mempunyai kawalan ke atas kerja yang dijalankan dan majikan langsung mempunyai tanggungjawab secara langsung untuk kerja tersebut dan juga keselamatan semua pekerjanya. Majikan perlu melaporkan kemalangan yang berpunca daripada aktiviti kerja atau disebabkan oleh pekerjaan.

Secara amnya kemalangan semasa dalam perjalanan bukan disebabkan pekerjaan. Perjalanan bermaksud perjalanan dari rumah ke tempat kerja dan dari tempat kerja balik ke rumah. Majikan haruslah memastikan samada kemalangan itu berkaitan dengan kerja atau tidak serta majikan juga perlu merekodkan segala kemalangan yang berlaku direkodkan sebagai rujukan pada masa akan datang. Kebiasanya semua rekod pekerja harus disimpan oleh Bahagian Sumber Manusia organisasi dan terdapat juga beberapa organisasi rekod keselamatan dan kesihatan seperti rekod kemalangan disimpan oleh Bahagian Keselamatan. Undang-undang tidak menyatakan secara spesifik bahagian mana yang harus menyimpan rekod. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk menentukan pembahagian tugas ini dalam organisasinya bagi memastikan segala perkara (kemalangan) diambil perhatian.

Manakala berdasarkan keratan Utusan Online bertarikh Oktober 29, 2007, lebih RM800 juta dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam bentuk pampasan kepada golongan pekerja di negara ini yang maut atau cacat akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu. Timbalan Menteri Sumber Manusia (pada tarikh keratan ini dikeluarkan), Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, pada tahun lalu sebanyak 69,000 kemalangan jalan raya berlaku dan sebahagian besarnya membabitkan golongan pekerja di negara ini. Menurut beliau, jumlah pampasan itu dibayar kepada pekerja yang maut atau cedera parah ketika sedang bekerja, dalam perjalanan pergi atau balik dari tempat kerja. Ini menunjukkan bahawa nahas industri semakin perlu diberi perhatian dan JKKP perlu memainkan peranan dengan lebih tegas terutama terhadap mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

Merujuk kes yang berlaku pada 23 Ogos, 2008 di Alor Star, seorang buruh binaan warga Indonesia terbunuh setelah tergelincir dari bumbung sebuah sekolah setinggi empat tingkat yang sedang dibaikinya di Taman Saga. Mangsa Mohd. Rafi Mahmood, berumur 23 tahun yang berasal daripada Acheh mengalami kecederaan di muka, patah kaki dan tangan kanan. Punca kemalangan masih disiassat dan ini menjadi tanggungjawab pihak JPPK untuk menyiasat samada kemalangan yang berlaku berpunca dari kecuaian pekerja itu sendiri atau majikan (tidak menyediakan peralatan keselamatan untuk menjalankan tugas). Siasatan perlu dijalankan secara telus agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil dan segala tuntutan dapat dilakukan dengan lancar.

Walau bagaimanapun, sekiranya segala tindakan dan peraturan dalam menyediakan tempat kerja yang selamat serta pematuhan larangan penggunaan bahan bagi tujuan tertentu (rujuk seksyen 35 Akta 514) oleh majikan telah diambil, pekerja merupakan individu yang harus prihatin terhadap keselamatan diri mereka. Pihak JPPK, Kementerian Sumber Manusia, majikan/pengurusan Sumber Manusia organisasi, serta pihak-pihak lain hanya boleh menyediakan dan memberi maklumat yang perlu kepada pekerja tetapi perlaksanaan dalam menjaga keselamatan dan kesihatan diri adalah bergantung kepada tindakan pekerja itu sendiri. Kesedaran perlu datang dari diri mereka (pekerja) sendiri, tepuk dada tanya minda.

Bagaimana pula dengan kemalangan bangunan runtuh baru-baru ini? Kita ulas lagi dalam post akan datang. InsyaAllah.


Nonahanim: Mencegah adalah lebih baik dari mengubati, tapi bagaimana hendak dicegah sekiranya langkah yang sepatutnya pun tidak diambil perhatian.. tepuk dada, tanya akal~

No comments: